Produk apa yang anda cari?

Sabtu, 13 Agustus 2016

pengertian ilmu tasawuf

Sebenarnya ilmu rohaniah itu adalah
ilmu tasawuf atau dikatakan juga
sebagai ilmu hakikat atau ilmu batin.
Mengapa ilmu ini dikatakan ilmu
rohani? Ini kerana perbahasannya
adalah mengenai roh. Mengapa pula ia
juga dikatakan ilmu tasawuf? Jika kita
lihat perbincangan para ulama
termasuk ulama moden, perkataan
tasawuf itu diambil daripada
bermacam-macam perkataan. Tetapi di
sini saya hanya memilih salah satu
daripadanya iaitu dari perkataan sofa’
bermakna bersih atau murni.
Tegasnya, ilmu tasawuf itu adalah ilmu
bagaimana hendak membersihkan atau
memurnikan roh (hati) atau nafsu.
Agar dari dorongan hati yang bersih
itu dapat membersihkan pula anggota
lahir daripada melakukan kemungkaran
dan kesalahan. Oleh itu, ilmu tasawuf
itu adalah ilmu mengenai cara-cara
membersihkan lahir dan batin daripada
dosa dan kesalahan. Bahkan kesalahan
lahir ini berpunca dari kesalahan
batin. Dosa lahir ini berlaku setelah
berlakunya dosa batin. Maka sebab
itulah ia dikatakan ilmu tasawuf.
Kenapa pula ilmu ini juga dikatakan
ilmu batin? Ini kerana roh atau hati
memang tidak dapat dilihat oleh mata
kepala. Ia adalah makhluk yang
tersembunyi. Maka ilmu ini dinamakan
ilmu batin kerana ia membahaskan
tentang hati dan sifat-sifatnya yang
memang tidak dapat dilihat dengan
mata lahir tapi dapat dilihat oleh mata
batin.
Mengikut pandangan umum masyarakat
sekarang, bila disebut ilmu batin,
mereka menganggap itu adalah ilmu
pengasih atau ilmu kebal. Orang yang
belajar ilmu batin bermakna dia
belajar ilmu kebal atau belajar ilmu
pengasih. Sebenarnya orang itu
belajar ilmu kebudayaan Melayu, yang
mana ilmu itu ada dicampur dengan
ayat-ayat Al Quran. Kebal juga adalah
satu juzuk daripada kebudayaan orang
Melayu yang sudah disandarkan
dengan Islam. Kalau kita hendak
mempelajarinya tidak salah jika tidak
ada unsur-unsur syirik. Tetapi itu
bukan ilmu tasawuf atau ilmu
kerohanian seperti apa yang kita
bahaskan di sini.
Adakalanya ilmu tasawuf dipanggil
juga ilmu hakikat. Ini kerana hakikat
manusia itu yang sebenarnya adalah
rohnya. Yang menjadikan manusia itu
hidup dan berfungsi adalah rohnya.
Yang menjadikan mereka mukalaf
disebabkan adanya roh. Yang merasa
senang dan susah adalah rohnya. Yang
akan ditanya di Akhirat adalah rohnya.
Hati atau roh itu tidak mati sewaktu
jasad manusia mati. Cuma ia berpindah
ke alam Barzakh dan terus ke Akhirat.
Jadi hakikat manusia itu adalah roh.
Roh itulah yang kekal. Sebab itu ia
dikatakan ilmu hakikat.
Oleh yang demikian apabila kita
mempelajari sungguh-sungguh ilmu
rohani ini hingga kita berjaya
membersihkan hati, waktu itu yang
hanya kita miliki adalah sifat-sifat
mahmudah iaitu sifat-sifat terpuji.
Sifat-sifat mazmumah iaitu sifat-sifat
terkeji sudah tidak ada lagi. Maka
jadilah kita orang yang bertaqwa yang
akan diberi bantuan oleh Allah SWT di
dunia dan Akhirat. Kebersihan hati
inilah yang akan menjadi pandangan
Allah.
Maksudnya, bila hati bersih,
sembahyangnya diterima oleh Allah
SWT. Bila hati bersih, puasanya
diterima oleh Allah. Bila hati bersih,
perjuangannya diterima oleh Allah.
Bila hati bersih, wirid dan zikirnya
diterima oleh Allah. Bila hati bersih,
pengorbanannya diterima oleh Allah.
Tetapi bila hati tidak bersih, seluruh
amalan lahirnya tidak akan diterima.
Itulah yang dimaksudkan di dalam
ajaran Islam bahawa walaupun kedua-
dua amalan lahir dan amalan batin
diperintahkan melaksanakannya tetapi
penilaiannya adalah amalan roh atau
hatinya. Ini sesuai dengan Hadis yang
bermaksud: “Cukup sembahyang sunat
dua rakaat daripada hati yang
bertaqwa.” Maknanya dua rakaat
sembahyang seorang yang bertaqwa
itu lebih baik daripada seorang yang
banyak sembahyang tetapi hati masih
kotor. Selain sembahyang itu diterima,
dua rakaat sembahyang dari hati yang
bertaqwa itu akan memberi kesan
kepada kehidupan seseorang itu.
Sembahyangnya itu boleh mencegah
dirinya dari berbuat kemungkaran dan
kemaksiatan, lahir dan batin.
Berdasarkan Hadis di atas, kita cukup
bimbang kerana selama ini kita telah
mengerjakan sembahyang, sudah lama
berjuang, sedikit sebanyak sudah
berkorban, sudah habiskan masa untuk
berdakwah, sembahyang berjemaah,
ikut jemaah Islamiah, yang mana ini
semua adalah amalan lahir, rupa-
rupanya Allah tidak terima semua
amalan itu disebabkan hati kita masih
kotor. Roh kita masih tidak bersih.
Oleh itu dalam kita menunaikan
kewajipan yang lahir ini, jangan lupa
kita memikirkan roh kita. Kerana roh
yang kotor itulah yang akan
mencacatkan amalan lahir, mencacatkan
sembahyang, mencacatkan segala
ibadah dan mencacatkan pahala
seluruh kebaikan kita.
Orang yang banyak amal ibadah, di
langit yang pertama sudah tercampak
amalannya. Kalaupun boleh naik, di
langit yang kedua pula tersekat.
Begitulah seterusnya di pintu-pintu
langit yang lain hingga sampai ke
pintu langit yang ketujuh, tersangkut
lagi. Itu bagi orang yang beramal,
masih tertolak amalannya. Bagaimana
agaknya kalau orang yang tidak
beramal langsung?
Mengapa amalan lahir itu tersangkut?
Tersangkutnya amalan itu kerana ia
ada hubungan dengan penyakit batin
atau roh (hati) kita yang masih kotor.
Orang yang mengumpat umpamanya,
kerana hatinya sakit. Walaupun
mengumpat itu nampaknya amalan
lahir, mulutnya yang bercakap tetapi
ia datang dari hati yang kotor.
Sebenarnya hati itulah yang
mengumpat.
Hasad dengki, riyak, kibir, sombong
dan sebagainya, itu semua amalan
hati. Rupa-rupanya yang menghijab
amalan lahir ini adalah mazmumah
hati. Amalan hati (roh) ini hendaklah
dijaga kerana mazmumah hati inilah
yang membatalkan pahala amalan-
amalan lahir.
Ditegaskan sekali lagi, ilmu rohani
adalah ilmu yang mengesan tabiat roh
atau hati sama ada yang mazmumah
atau mahmudahnya. Bukan untuk
mengetahui hakikat zat roh itu
sendiri. Hakikat roh itu sendiri tidak
akan dapat dijangkau oleh mata kepala
atau tidak akan dapat dibahaskan.
Tetapi apa yang hendak dibahaskan
adalah sifat-sifatnya sahaja supaya
kita dapat mengenal sifat-sifat roh
atau hati kita yang semula jadi itu.
Mana-mana yang mahmudahnya
(positif) hendak dipersuburkan dan
dipertajamkan. Kita pertahankannya
kerana itu adalah diperintah oleh
syariat, diperintah oleh Allah dan Rasul
dan digemari oleh manusia. Mana-
mana yang mazmumahnya (negatif)
hendaklah ditumpaskan kerana sifat-
sifat negatif itu dimurkai oleh Allah
dan Rasul serta juga dibenci oleh
manusia.
Oleh yang demikian, sesiapa yang
memiliki ilmu tentang roh ini, mudahlah
dia mengesan sifat-sifat semula jadi
yang ada pada roh itu. Mahmudahnya
dapat disuburkan dan yang
mazmumahnya dapat ditumpaskan.
Maka jadilah roh atau hati seseorang
itu bersih dan murni.
Sedangkan hati adalah raja dalam
kerajaan diri. Bila raja dalam kerajaan
diri ini sudah bersih, baik, adil, takut
kepada Allah, mencintai Allah dan
Rasul, maka sudah tentu dia akan
mendorong rakyat dalam dirinya iaitu
anggota (jawarih) ini untuk tunduk
dan patuh kepada Allah. Mudah untuk
membangunkan syariat dan Sunnah
Rasulullah SAW serta mudah berbuat
bermacam-macam bentuk kebaikan
lagi.
Maka kebaikan anggota lahir inilah
yang merupakan buah daripada
kebersihan jiwa itu sendiri. Jadi
kebersihan jiwa itulah pokok yang
melahirkan kebaikan kepada tangan,
mulut, mata, telinga, kaki dan seluruh
tindakan lahir kita ini. Maka bila roh
sudah baik, akan jadi baiklah seluruh
lahir dan batin manusia. Bila baik lahir
batin manusia, dia akan menjadi orang
yang bertaqwa.
Bila dia telah menjadi orang yang
bertaqwa, maka dia dapat pembelaan
dari Allah sama ada di dunia mahupun
di Akhirat. Selagi belum menjadi
manusia yang bertaqwa, tidak ada
jaminan dari Allah akan dibela sama
ada di dunia mahupun di Akhirat.
Kalau sekadar menjadi orang Islam,
tidak ada jaminan dari Allah untuk
dibela.
Dalam Al Quran, Allah tidak
mengatakan akan membela orang
Islam. Tidak ada satu ayat pun yang
Allah berjanji hendak membantu orang
Islam. Tetapi yang ada dalam ayat Al
Quran mahupun dalam Hadis, Allah
hanya membantu orang-orang mukmin
yang bertaqwa. Jadi bila jiwa sudah
bersih, maka akan bersih lahir dan
batin, maknanya orang itu sudah
memiliki sifatsifat taqwa. Inilah yang
dimaksudkan oleh Allah SWT dalam Al
Quran: “Hendaklah kamu berbekal.
Sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu
adalah sifat taqwa.” (Al Baqarah: 197)
Bila seseorang itu sudah dapat
berbekal dengan sifat-sifat taqwa,
maka dia akan dapat pembelaan dari
Allah SWT. Pembelaan di dunia
mahupun di Akhirat. Sebenarnya, di
sinilah rahsia kejayaan dan
kemenangan umat Islam. Juga rahsia
kehebatan umat Islam hingga berjaya
menumpaskan musuh-musuhnya sama
ada musuh lahir mahupun musuh batin.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar